
MAAF, saya tidak boleh bersetuju kali ini.
Saya tidak boleh bersetuju bila seorang pemborong ikan diangkat menjadi calon ADUN Manek Urai. Bukan kerana saya menghina kerjapemborong ikan, tidak terniat sama sekali. Ini bukan soal mudah diterima atau sudah dikenali, ini soal kepimpinan, suatu amanah besar yang harus dipikul.
Saya juga tidak boleh bersetuju dengan hujah Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fattah Harun bahawa tugas ADUN hanya terhad di kawasannya sahaja, maka dia tidak semestinya berpendidikan tinggi, lainlah kalau dia dicalonkan untuk kerusi Parlimen.
Secara preskripsinya, jawatan ADUN dan Ahli Parlimen adalah sama, mereka dalam Bahasa Inggeris disebut “law makers.” Bezanya ADUN terlibat dalam penggubalan undang-undang negeri, sementara Ahli Parlimen terlibat dalam penggubalan undang-undang persekutuan. Di Dewan Undangan Negerilah, undang-undang peringkat negeri dibentang, dibahas dan diluluskan. Tanpa prejudis, apakah seorang pemborong ikan berkeupayaan dan mampu untuk terlibat sama dalam sesi-sesi sebegini?

















