
JADI satu perkara pelik pula bila Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu melantik bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Radzi Sheikh Ahmad sebagai penasihat khas baru-baru ini. Apakah perlu seorang MB ada penasihat khas?
Yang jelas pada pandangan kita, lantikan itu lebih kepada membalas jasa Radzi dalam mencatur siapa patut jadi MB Perlis selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Daripada maklumat yang diterima, Datuk Seri Shahidan Kassim dikelirukan hingga Istana melantik Mohd Isa sebagai MB atas campur tangan Mohd. Radzi.
Jika ini benar, patutlah Md. Isa terpaksa wujudkan jawatan khas seperti penasihat khas untuk menggandingkan tugas mereka berdua mentadbir Negeri Perlis. Mungkin pada Md. Isa, Radzi seorang bekas menteri kabinet yang berkaliber. Beliau pandai cari duit, pandai simpan duit dan juga pandai menggunakan duit untuk menyelamatkan Negeri Perlis daripada belenggu ekonomi rakyatnya.
















